Thursday, June 17, 2010

Islam Pelopor Sains Forensik



dipetik daripada mymetro 18/6/2010 yang ditulis oleh seorang guru


FORENSIK masih baru dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu namun kini kosa kata ini semakin dikenali ramai kerana sering digunakan dalam media massa.
Kita tentu ingat siri televisyen popular Crime Scene Investigation (CSI) yang meninggalkan impak kepada masyarakat mengenai kepentingan penggunaan forensik dalam penyiasatan.

Hakikatnya, bidang forensik ini bukan baru kerana catatan sejarah menunjukkan penggunaan sains forensik mula dikesan kira-kira 2,200 tahun lalu iaitu pada zaman Greek. Dikatakan bahawa seorang tokoh pemikir terulung Yunani, Archimedes menggunakan pendekatan penyerapan air bagi membezakan emas tulen yang mempunyai ketumpatan berbeza dengan kandungan emas palsu. Kaedah yang digunakan oleh beliau itu dianggap sebagai catatan terawal tentang penggunaan sains forensik dalam menegak kebenaran.

Sebenarnya, ada suatu peristiwa menarik yang telah berlaku pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab r.a. yang boleh dianggap sebagai penggunaan kaedah forensik dalam membuktikan kebenaran dan menegakkan keadilan. Dikisahkan bahawa terdapat seorang wanita yang telah jatuh hati terhadap seorang lelaki Ansar. Dia mencuba pelbagai cara untuk menggoda lelaki berkenaan, namun usahanya gagal. Dia tidak berputus asa dan terus mencuba. Akhirnya wanita itu mensabitkan lelaki Ansar itu dengan tuduhan merogol. Wanita itu menggunakan sebiji telur yang dibuang bahagian kuning telurnya. Putih telur itu disapukan pada pakaian dan kakinya. Kemudian dengan lagak berpura-pura berada dalam situasi yang tertekan, wanita itu pergi menghadap Umar al-Khattab mengadu yang dia telah dirogol lelaki Ansar itu.

Khalifah Umar tidak tergesa-gesa menerima bulat-bulat aduan wanita berkenaan sebaliknya mengambil pendekatan syura dengan merujuk kes itu kepada beberapa wanita lain. Keputusannya semua wanita yang dirujuk itu bersetuju bahawa kesan pada pakaian dan kaki wanita itu ialah kesan air mani. Apabila pandangan syura itu disampaikan kepada Umar, maka beliau telah bersedia untuk menjatuhkan hukuman terhadap lelaki Ansar tersebut. Bagaimanapun, lelaki Ansar itu tetap berkeras mengatakan yang dia tidak bersalah dan tidak sesekali melakukan kerja terkutuk itu. Kemudian Khalifah Umar terbuka hati untuk merujuk kes berkenaan kepada Saidina Ali Abi Talib. Ali meneliti kesan yang dikatakan sebagai air mani itu. Selepas membuat penelitian rapi, Saidina Ali mengarahkan dibawa air yang mendidih. Air panas itu kemudian dituangkan ke atas kesan pada pakaian wanita tersebut. Apa yang berlaku selepas itu? Ya, didapati kesan yang dikatakan air mani itu mengeras menjadi pepejal putih. Bukan setakat itu saja dilakukan Saidina Ali dalam usaha menentukan sama ada kesan pada pakaian wanita itu betul-betul air mani sebagaimana didakwa. Saidina Ali telah menghidu dan merasa bahan yang mengeras itu dan mengesahkan yang kesan itu sebenarnya bukan air mani sebaliknya telur putih. Akhirnya, wanita berkenaan telah membuat pengakuan bahawa dia telah berbohong.

Oleh itu, dapat dikatakan di sini bahawa apa yang dilakukan Saidina Ali adalah proses sains forensik sehingga berjaya membebaskan seorang lelaki yang tidak bersalah akibat tuduhan liar wanita yang tergila-gilakannya. Juga dapat diiktiraf bahawa Saidina Ali adalah pelopor kaedah sains forensik dalam tamadun Islam. Sebenarnya Islam telah menggariskan satu sistem keadilan serba lengkap dengan piawaian keadilan sentiasa diutamakan. Bermula dengan penyiasatan disusuli dengan pendakwaan dan perbicaraan sehinggalah kepada soal penghakiman, Islam sangat mentitikberatkan keadilan. Dalam al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w terdapat begitu banyak yang memperkatakan aspek keadilan ini. Islam menggariskan pelbagai pendekatan sebagai kaedah membuktikan sesuatu dakwaan. Antaranya ialah iqrar iaitu pengakuan, shahadah yang bermaksud kesaksian, yamin atau disebut sebagai sumpah, qarinah yang didefinisikan sebagai keterangan persekitaran atau keterangan tidak langsung, kitabah yang pada masa ini dikenali sebagai keterangan dokumen dan juga tidak ketinggalan keterangan berasaskan kaedah saintifik yang lebih popular dengan nama forensik. Inilah kaedah yang digunakan Islam dalam membuktikan sesuatu pendakwaan terhadap tertuduh.

Sekarang mari kita teliti satu kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah yang dapat kita anggap sebagai pendekatan sains forensik dalam usaha menegakkan kebenaran. Terjadi satu kes melibatkan dua orang anak Af’aa yang masing-masing mendakwa telah membunuh Abu Jahal dalam Perang Badar. Apakah tindakan Nabi dalam menyelesaikan kes itu? Nabi bertanya kepada mereka berdua sama ada mereka telah membersihkan pedang yang digunakan. Mereka menjawab masih belum membersihkannya. Kemudian Nabi mengarahkan mereka menunjukkan pedang masing-masing. Setelah melihat kesan darah pada kedua-dua pedang tersebut, Nabi pun mengatakan kepada salah seorang daripada mereka: Pedang ini yang membunuh Abu Jahal.” (Hadis riwayat Bukhari) Dalam komentar Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya al-Turuq al-Hukmiyyah mengatakan yang darah pada pedang tersebut ibarat seorang saksi yang hebat.

Saudaraku yang dirahmati Allah, inilah contoh bukti bagaimana penggunaan sains forensik telah dipelopori Islam sebagai satu kaedah saintifik bagi menegakkan keadilan dalam sesuatu kes pendakwaan.

Kini, sains forensik begitu maju dan sentiasa diutamakan dalam sesuatu penyiasatan khususnya apabila berlaku kes jenayah. Banyak pihak yang terlibat dengan penggunaan sains forensik ini seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kastam dan Eksais Diraja serta Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna. Dalam usaha menangani kepelbagaian bentuk dan jenis kes jenayah, pendekatan sains forensik telah menjadi kemestian dalam proses penyiasatan yang dilakukan.

Apapun, harus diakui bahawa Islam telah mendahului penggunaan sains forensik sebagai kaedah terbaik dalam membuktikan sesuatu pendakwaan, sekali gus berupaya menegakkan kebenaran dan keadilan terhadap tertuduh.

Sesungguhnya kaedah sains forensik yang diperkenalkan Islam tetap ‘evergreen’ dan menepati piawai saintifik semasa. Itulah keindahan Islam dan itulah keutuhan ajarannya.